LUMUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Tanjung Hantu, dekat sini ditamatkan malam tadi selepas tiada sebarang petunjuk.

Operasi itu diaktifkan selama empat hari bagi mengesan mangsa, Amat Bepam Shah, 80, yang dipercayai hilang selepas penemuan bot tanpa pengemudi di kawasan tersebut.

Mangsa, dikhuatiri hilang lebih kurang 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu sekitar jam  2.20 petang, 5 Ogos lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah menamatkan operasi itu pada jam 7.30 malam tadi.

“Maritim Negeri Perak bersama MRSC Langkawi telah mengkoordinasikan operasi itu bersama pelbagai agensi melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta hampir 20 buah bot nelayan tempatan dengan keseluruhan kawasan pencarian menjangkau 111.64 batu nautika persegi merangkumi perairan Pulau Talang, Pantai Remis, Perak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

BACA: Operasi SAR nelayan 80 tahun hilang di perairan Tanjung Hantu diperluas

BACA: Nelayan berusia 80 tahun dikhuatiri hilang di perairan Tanjung Hantu

Bagaimanapun, katanya, usaha mencari dan menyelamat akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu yang menyumbang ke arah penemuan mangsa.