Skip to main content

Malaysia

Misi perangi rasuah: Tiada siapa terkecuali, SPRM juga dalam 'radar' - Agong

FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah. - FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut kenyataan Seri Paduka Baginda yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi baginda hari ini, rasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.

Advertisement

“Jangan ingat usaha memerangi rasuah ini hanya tertumpu kepada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima rasuah semata-mata. Malah, berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa amaran tersebut meliputi semua peringkat tanpa mengira pangkat, termasuk ejen atau ‘orang tengah’ serta pembekal peralatan, pakaian dan perubatan yang terlibat dengan agensi kerajaan.

“Tidak kira apa jua pangkat anda, semuanya dalam ‘radar’. Bak kata pepatah, ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’. Jangan ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada undang-undang.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, pertukaran perlu dilakukan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda lagi. 

Must Watch Video