KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda bersama rakannya di Pantai Batu Buruk, di sini, pada Isnin.
Mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, yang merupakan pelajar Foundation in Business di Kolej INTI International University, Cawangan Nilai, Negeri Sembilan dikatakan datang ke Terengganu untuk bercuti bersama tiga rakannya sebelum hilang kira-kira jam 12.16 tengah hari.
Advertisement
Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai, Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan dan mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Berang.
"Setakat ini mangsa masih belum dapat dikesan manakala tiga lagi rakannya selamat.
"Salah seorang mangsa yang cedera telah diberi bantuan pernafasan oksigen oleh pasukan EMRS," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, lapan anggota PPDA turut dikerahkan untuk membantu operasi pencarian, namun operasi di air terpaksa dihentikan dahulu kerana ombak besar.
Jelas beliau, seramai 43 anggota terlibat dalam operasi termasuk agensi luar di mana jarak pencarian dilakukan sejauh kira-kira dua kilometer sepanjang pesisir pantai.
Katanya, kawasan pencarian dibahagikan kepada beberapa sektor bagi memastikan kesemuanya dapat diperiksa bagi mengesan mangsa.
"Kerja selaman tidak dapat dijalankan kerana ombak terlalu besar, jadi rondaan di pesisir pantai serta tinjauan menggunakan dron dijalankan bagi mengesan mangsa," katanya. -Sinar Harian