Tiada sistem pagar elektrik, parit penghalang di kawasan serangan gajah - Perhilitan

Bernama
Ogos 4, 2023 22:45 MYT
Mohamad Hafid (gambar) berkata, mangsa dipercayai diserang dua gajah liar berdasarkan kesan tapak kaki gajah bersaiz antara 30 dan 35.6 sentimeter. - Gambar fail BERNAMA
GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan serangan gajah liar yang dipercayai menyebabkan seorang pengawal keselamatan maut dipijak di Tanah Tinggi Lojing, pada Rabu, berlaku di kawasan yang tidak mempunyai sistem pagar elektrik gajah.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata selain itu kawasan tersebut juga tidak mempunyai parit penghalang gajah menyebabkan gajah liar dari Hutan Simpan Brooke sering menceroboh kawasan ladang.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai telah diserang oleh dua ekor gajah liar berdasarkan kesan tapak kaki gajah bersaiz antara 30 hingga 35.6 sentimeter dan kesan gajah makan pada daun pokok kelapa sawit.
"Gajah yang menyerang mangsa adalah daripada Kumpulan ID Brooke yang mempunyai populasi anggaran sebanyak 30 ekor," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohamad Hafid berkata sebelum ini, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa aduan berkenaan kehadiran dan serangan gajah di kawasan ladang berkenaan.
"Semakan rekod Aduan Konflik Hidupan Liar Daerah Gua Musang mendapati tiada rekod aduan gangguan gajah liar di kawasan ladang di Lojing itu," katanya.
Beliau juga menasihatkan para pekerja ladang supaya lebih berhati-hati dan berwaspada sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan membuat laporan kepada Perhilitan.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Marzuki Mohd Nawi, 42, maut dipercayai dipijak gajah di kawasan ladang berhampiran Tanah Tinggi Lojing ketika dalam perjalanan ke sungai di kawasan ladang untuk memancing ikan bersama seorang rakannya.
Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa menemukan terdapat kesan lebam dan luka di sebelah pinggang kiri yang dipercayai dipijak gajah.
--BERNAMA
#gajah #Tanah Tinggi Lojing #pengawal keselamatan maut dipijak gajah #pagar elektrik