KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membuka kertas siasatan mengenai aduan orang awam berhubung kenyataan pemilik akaun 'Zamani Ibrahim' berkenaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook pada 2018.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, semakan mendapati kenyataan itu telah dimuat naik pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Zamani Ibrahim ini adalah berunsurkan pandangan politik peribadi semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah.

"Kenyataan lama ditularkan kembali menerusi media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan ini telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zam Halim berkata, polis juga berharap agar orang ramai dapat memeriksa kesahihan gambar, video serta kenyataan yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Terdahulu, tular di media sosial hantaran pemilik akaun 'Zamani Ibrahim' bertarikh 11 Mei 2018 yang memberi kenyataan mengenai Najib dan cubaan mengaitkannya dengan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengendalikan kes rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu bagi mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Malah, semasa rayuan tersebut Najib turut mahu panel hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu ditetapkan untuk mendengar rayuan akhirnya kerana mendakwa suami (Zamani Ibrahim) kepada pengerusi panel terbabit menerbitkan hantaran di laman Facebook berhubung dirinya pada tahun 2018.