SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa tiada unit Rumah Selangorku dijual oleh pemilik kepada pihak ketiga tanpa kelulusan kerajaan negeri setakat Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata, ini adalah berdasarkan rekod Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi permohonan kebenaran pindah milik hartanah harga kawalan Selangor dalam tempoh yang sama.

Katanya, menurut rekod LPHS, kesemua urusan penjualan Rumah Selangorku kepada pihak ketiga telah melalui permohonan secara sah.

Rodziah berkata demikian bagi menjawab soalan asal Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) yang ingin tahu berapa unit Rumah Selangorku yang telah dijual oleh pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Jelasnya dasar kerajaan negeri menetapkan permohonan kebenaran pindah milik hartanah kos rendah, kos sederhana rendah atau harga kawalan lain termasuk Rumah Selangorku, perlu dikemukakan kepada LPHS untuk kelulusan pelepasan syarat pindah milik oleh pihak berkuasa negeri.

"Bakal pembeli perlu mematuhi syarat-syarat pemilikan hartanah kos rendah, kos sederhana rendah atau Rumah Selangorku secara pindah milik atau jualan semula (subjualan) iaitu LPHS menetapkan danmengguna pakai syarat-syarat bagi tempoh pemilikan hartanah mestilah mencukupi lima tahun pemilikan daripada tarikh diterima bagi pemilik pertama.

"Sementara bagi transaksi seterusnya, tempoh lima tahun berasaskan kepada perjanjian jual beli atau kontrak lelongan. Tujuan dasar ini dilaksanakan adalah untuk memastikan hanya golongan yanglayak memiliki hartanah harga kawalan di Selangor," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa berdasarkan rekod, pihaknya mendapati terdapat penjualan Rumah Selangorku antara dua pihak yang tidak didaftarkan.

"Jadi pada kita (penjualan Rumah Selangorku yang tidak didaftarkan), kita memegang rekod asas iaitu nama penama pertama dan untuk pindah milik macam mana pun, mereka tidak boleh lari iaitu mesti melalui LPHS untuk mengesahkan boleh ataupun tidak," katanya menjawab soalan tambahan Leong yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai kuasa menghalang pemilik menjual Rumah Selangorku sebelum tempoh lima tahun.

-- BERNAMA