Polis Kelantan menolak kemungkinan unsur jenayah membabitkan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berumur 41 tahun yang tular di media sosial ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata siasatan mendapati tiada sebarang unsur ugutan, paksaan atau rayuan mahupun pedofilia terhadap kanak-kanak tersebut untuk berkahwin dengan suaminya.

"Siasatan kes berkenaan dibuka selepas kami menerima laporan polis yang dibuat oleh isteri kedua lelaki tersebut yang berumur 34 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang semalam.

"Kes berkenaan bagaimanapun diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan difahamkan ia kini disiasat di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 kerana berkahwin dengan wanita berusia bawah 18 tahun," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata suami kepada kanak-kanak tersebut yang merupakan peraih getah sekerap tidak ditahan untuk siasatan dan masih bebas kerana perkahwinan itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak tanpa sebarang unsur jenayah.

Katanya, bagaimanapun polis akan membuat semakan terhadap taraf kewarganegaraan, status penduduk tetap ataupun dokumen perjalanan keluarga kanak-kanak berkenaan.

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya, tular di media sosial sejak Jumaat lepas selepas perkara itu dikongsikan oleh isteri kedua lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat mengkritik tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku. -- Bernama

BACA: Perkahwinan budak 11 tahun tidak sah - Dr Wan Azizah

BACA: 'Kami suka sama suka' - suami tidak akan cerai isteri bawah umur

BACA: Isu kahwin budak 11 tahun: JAHEAIK belum terima laporan

BACA: Kerajaan siasat kes kahwin bawah umur di Gua Musang - TPM

BACA: Isteri terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun