[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Tiada unsur penderaan dikesan dalam kes kematian pelatih Palapes - Menteri Pertahanan

Sinar Harian 13/08/2025 | 03:10 MYT
Mohamed Khaled (kanan) ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di ibu negara hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam kes kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, 22, seperti didakwa sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat dalam latihan itu menafikan berlakunya sebarang bentuk penderaan terhadap mangsa.

“Insiden ini berlaku ketika latihan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) yang dijalankan dari 27 Julai hingga 2 Ogos. Allahyarham baru sehari memasuki kem latihan sebelum meninggal dunia pada 28 Julai.

“Keterangan saksi, sama ada daripada pegawai Palapes mahupun kadet lain, menyatakan tiada perlakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang latihan.

“Jurulatih yang mengendalikan latihan juga mematuhi sepenuhnya arahan, garis panduan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di ibu negara pada Rabu.

Pada Selasa, keluarga Allahyarham Syamsul Haris menuntut siasatan telus dan segera dijalankan bagi merungkai punca sebenar kematian pelatih kadet Palapes itu yang disifatkan meragukan.

Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan berkata, beliau curiga dengan keadaan jenazah anaknya yang menunjukkan pelbagai kesan kecederaan ketika ditemui di unit forensik selepas dimaklumkan mengenai kematiannya.

Menurutnya, tanda pada dada arwah seolah-olah akibat dipukul atau dicucuk menggunakan objek, selain pendarahan teruk dari hidung yang berwarna pekat dan gelap, bukan merah seperti biasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan laporan itu turut disokong dapatan siasatan pihak polis.

“Petugas perubatan tentera yang hadir semasa kejadian mengesahkan semua bantuan awal diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Punca kematian sebenar hanya akan diketahui dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas laporan perubatan lengkap dikeluarkan,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan agar kes ini tidak dikaitkan dengan insiden di Sabah sebelum ini, sambil menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh sekiranya terdapat sebarang petunjuk wujudnya unsur jenayah atau penderaan. - Sinar Harian








#Mohamed Khaled Nordin #dera #Syamsul Haris Shamsudin #kematian #pelatih Palapes