KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Kementerian Luar mempertimbangkan untuk menubuhkan unit khas bagi mengendalikan hal-hal berkaitan diplomasi digital.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya Dr Roy Anthony Rogers Peter Rogers, berkata dalam era pasca COVID-19, diplomasi secara dalam talian akan menjadi sebahagian norma baharu.

Pandemik COVID-19 global yang memberi kesan serius kepada semua negara, termasuk mengehadkan komunikasi bersemuka, diplomasi digital menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

"Oleh itu, sudah tiba masanya Wisma Putra (Kementerian Luar) dan Menteri Luar mempertimbangkan untuk menubuhkan unit khas bagi mengendalikan masalah diplomasi digital sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar "Adapting to COVID-19: Malaysia Foreign Policy Priorities for the New World" anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, Rabu. Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut menyertai webinar tersebut.

Bagaimanapun, Roy berkata diplomasi digital bukan sesuatu yang baharu.

Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Luar Negeri pada 2002 menubuhkan pasukan petugas e-diplomasi, kemudian dinaik taraf menjadi pejabat e-diplomasi manakala United Kingdom (UK) memiliki pejabat khas untuk mengendalikan hal-hal digital.

Beliau percaya dengan memanfaatkan kemajuan teknologi digital akan membolehkan diplomasi dan komunikasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cekap.

Diplomasi digital merujuk kepada penggunaan teknologi dan platform digital untuk mencapai fungsi diplomasi.

Beliau turut melontarkan pandangan bahawa Konvensyen Vienna Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hubungan Diplomatik 1961 perlu disemak semula atau dipinda untuk memasukkan kepentingan diplomasi digital seiring dengan keperluan dan cabaran masa kini.

Bercakap di webinar yang sama, Pensyarah Kanan Program Kajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Hoo Chiew Ping berkata kepentingan Malaysia sebagai kuasa berpengaruh di pentas antarabangsa boleh diperkukuhkan lagi.

Beliau berkata terutamanya apabila melibatkan isu berkaitan keamanan dan keselamatan.

"Kebanyakan kuasa pertengahan seperti Malaysia adalah aktivis. Tugas mereka menonjolkan kebajikan, nilai dan prinsip utama yang penting bagi negara," katanya.

Memetik pengalamannya ketika menghadiri persidangan anjuran Pejabat Hal Ehwal Perlucutan Senjata PBB (UNODA) baru-baru ini, pendirian tegas Malaysia mengenai perlucutan senjata nuklear mendapat pujian dan menjadi ikutan banyak negara lain.

"Jadi kita boleh menjadi peneraju utama dalam isu ini," tambahnya.

-- BERNAMA