IPOH: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Perak menyokong pendirian kerajaan negeri itu untuk tidak membekalkan air mentah kepada negeri lain seperti Pulau Pinang.

Menurut mereka, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat sendiri berbanding orang lain.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Norali Nordin berkata, sokongan itu merupakan antara usul ahli jawatankuasa GMP ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 yang berlangsung pada Sabtu.

Beliau berkata, amat wajar untuk kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat sendiri memandangkan penduduk di Perak dijangka meningkat kepada tiga juta orang menjelang tahun 2050.

"GMP menyokong pendirian kerajaan negeri tidak menjual air mentah kepada Pulau Pinang demi kepentingan rakyat terutama rakan-rakan kita di utara Perak seperti di kawasan Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping yang tidak cukup air.

"Memetik laporan media Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa urusan berkaitan sumber air terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing, maka keputusan itu amat wajar dilaksanakan," kata Norali.

Beliau ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan GMP ke-9 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini.

Norali berkata, selain mengharapkan penjualan air mentah dari Perak, Pulau Pinang mempunyai pilihan lain bagi membekalkan air di negeri itu termasuk sumber air bawah tanah.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, ahli DPPM Perak sendiri memerlukan bekalan air yang mencukupi.

Menurut beliau, ada di antara mereka yang terlibat dalam sektor pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sangat bergantung kepada bekalan air.

“Perak sendiri pernah mengalami masalah bekalan air, khususnya apabila paras air di kolam takungan Bukit Merah berkurangan sehingga menjejaskan sawah padi,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, adalah wajar kerajaan negeri mendahulukan keperluan rakyat tempatan terlebih dahulu.

Pada Jumaat, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk tidak membekalkan air mentah kepada negeri lain seperti Pulau Pinang sebaliknya, mengutamakan kepada penggunaan air di peringkat domestik.

Menurutnya, ini kerana penggunaan sumber air mentah di negeri ini hanya mencukupi untuk sektor pertanian, industri dan penjanaan tenaga elektrik.