KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen (MP) Bandar Kuching, Kelvin Yii berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, wakil DAP Sarawak itu gagal menyelami inti pati sebenar ucapan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat sehingga tercicir kejayaan rundingan MA63 yang telah dicapai selama ini.

"'Tidak boleh menari, tuduh lantai berjoget. Rakyat Sarawak sering bertanya dan mendakwa selama ini, selama kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan apa sumbangan kerajaan PH kepada Sarawak?

"Mana janji manis yang telah ditaburkan untuk rakyat Sarawak? Mana manifesto untuk Sarawak seperti yang dijanjikan? Mana janji manifesto PH untuk memulangkan kembali 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak?," soal beliau dalam sidang Parlimen pada Rabu.


'
Tidak boleh menari, tuduh lantai berjoget' - Alexander
MARI PANTAU AHLI PARLIMEN ANDA DI DEWAN RAKYAT DI LAMAN MIKRO INI 


Tegas beliau, sepanjang kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara pelbagai perkara penting dalam MA63 berjaya dicapai. 

'Sebagai Menteri KPDNHEP dan ahli Parlimen dari Sarawak, saya mewakili seluruh ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berada dalam Dewan Rakyat serta seluruh rakyat Sarawak, saya merasa terkilan dengan kenyataan MP Kuching dan menjadi tanggungjawab saya untuk membidas segala lemparan buruk dan berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan hubungan baik yang telah terjalin antara PN dan kerajaan Sarawak selama ini.

"... saya bersyukur kerana saya sendiri telah menyaksikan sendiri dan terlibat sama di dalam rundingan MA63 dan yang akan saya sebutkan disini telah direalisasikan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

"Yang pertama, hasil hubungan erat kerajaan PN dan GPS, rundingan yang dilaksanakan melalui mesyuarat majlis khas bagi menyemak MA63 pada 13 April 2021 telah bersetuju supaya pengecualian untuk memperolehi kebenaran lesen PDA 1974 dan lesen CSA 1961 diberikan kepada pemegang lesen DGO (Distribution of Gas Ordinance 2016) di Sarawak mulai 1 Jun 2021.

"Kesannya, kerajaan membantu merancakkan lagi persekitaran perniagaan yang lebih bersifat kondusif yang bermanfaat dalam peningkatan tadbir urus dan kawal selia minyak dan gas di Sarawak serta merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan domestik lebih kompetitif," kata Alexander.

Jelasnya lagi, kerajaan PN juga telah meluluskan kebenaran supaya SEDC Energy Sdn. Bhd. menjadi syarikat minyak baharu setanding jenama-jenama pengeluar minyak yang lain.

"Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan kebenaran kepada SEDC Energy menjual petrol, diesel dan produk petroleum lain secara downstream dan bertindak sebagai syarikat minyak penuh di bawah jenama sendiri," tambah beliau.

Selain itu, kata Alexander kerajaan terdahulu turut mendorong Sarawak terus bergiat aktif dalam industri minyak dan gas menerusi pengecualian pemakaian PDA 1974 dan CSA 1961 bagi aktivit pengawalseliaan dan tadbir urus gas petroleum cecair (LPG).

Antara kejayaan lain yang telah dicapai terdahulu adalah kelulusan untuk menggerakkan sektor ekonomi menerusi pembayaran cukai jualan negeri (SST) sebanyak 5 peratus yang dikenakan kepada eksport produk petroleum dari Sarawak selaras dengan peruntukan ordinan cukai jualan negeri 1998.

"Kelulusan ini membolehkan kerajaan negeri Sarawak menikmati manfaat lebih dari RM3 bilion setahun. Kerajaan hari ini turut komited untuk merundingkan perkara lain berkaitan isu pembangunan sektor ekonomi di Sarawak," jawabnya kepada  Kelvin Yii berhubung perjanjian bermakna itu.