KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan isu ketidakhadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bukan disebabkan ponteng.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan isu itu perlu diperjelas bagi mengelak salah faham masyarakat.

“Dalam konteks keciciran, ada beberapa dimensi dan segmen. Ada keciciran tak sambung belajar, selepas SPM bukan keciciran, itu tak sambung belajar.

“Dalam konteks KPM, yang kita rekod, (adalah) tak hadir. Ada banyak faktor kerana tidak hadir itu. Selepas SPM tak sambung belajar, itu sedang kita tekuni dengan beberapa Kementerian lain,” katanya ketika ditemui di Perasmian Majlis Penutup Konvensyen Islam Dan Melayu Peringkat Selangor di Shah Alam pada Rabu.

Fadhlina juga memberitahu KPM sedang menjalankan siasatan mengenai masalah ketidakhadiran pelajar.

"Isu SPM ini bukan masalah ponteng SPM... kita kena betulkan.

"Dia tidak hadir dalam rekod... tidak hadir," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata isu ketidakhadiran calon SPM merupakan masalah lama dan pihaknya akan memastikan calon SPM hadir menduduki peperiksaan itu pada masa akan datang.

"Jumlah calon tidak hadir SPM 2022 itu perlu diperiksa semula secara spesifik.

"Nanti bagi nombor salah pula. Nanti saya kongsikan. Sebab nombor itu saya tak mahu dimanipulasi," katanya.

Terdahulu, Fadhlina berkata pihaknya akan meneliti isu ketidakhadiran 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon SPM 2022, serta mahu mencari mekanisme bagi menyelesaikan masalah itu.