KUALA LUMPUR : Rakyat perlu memahami dan menghayati konsep Malaysia Madani sebelum mengkritik gagasan baharu yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan matlamat untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang dapat dicapai di bawah inisiatif itu.

"Ramai yang WhatsApp kepada saya ada sebut Madani, ia dikatakan bahasa politik.

"Kedua, adakah ia nak mengislamkan? Namun, apabila kita baca dalam konteks Malaysia tentang ini, kita di Malaysia tidak harus khuatir dan takut, walaupun mungkin istilah itu bahasa Arab sedikit.

"Apabila sebut Sabah dan Sarawak, ia boleh memainkan peranan penting sebab dalam konteks masyarakat Madani, kita perlu saling hormat menghormati dan banyak yang kita boleh pelajari dari Sabah dan Sarawak apabila kita bercerita tentang perpaduan.

"Kementerian Perpaduan boleh menggunakan konsep asas Madani ini untuk membuat program.

"Selain itu, menghayatinya juga bukan untuk Sarawak dan Sabah sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia dalam memainkan peranan untuk pastikan kita mencapai cita-cita masyarakat Madani," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Ujarnya, sikap hormat-menghormati dan mengenali antara masyarakat perlu diamalkan rakyat dan perkara itu menjadi tanggungjawab setiap warganegara.

"Bila disebut Madani, ia berkait dengan alam sekitar, sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Ini penting dalam kehidupan bermasyarakat. 

"Kita juga perlu memastikan kesejahteraan tanpa mengorbankan alam sekitar kita.

"Konsep Madani ini berkait rapat dengan masyarakat bertamadun, saling menghormati dan berilmu pengetahuan dan bukan hanya mengutamakan satu kumpulan masyarakat sahaja dan menjadi satu masyarakat yang diidamkan," tambahnya.

Tambah Madeline lagi, Malaysia tidak sepatutnya terlalu 'dibuai' dengan angka dalam menterjemah hasil daripada pelaksanaan konsep Madani nanti.

"Kalau nak kata statistik pencapaian 100 peratus, namun dari segi keberhasilannya tiada apa termasuk kemiskinan masih lagi pada tahap sama, alam sekitar masih tercemar, jadi bagaimana outcome itu boleh dicapai," katanya lagi.