JELEBU:Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berpandangan adalah tidak sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat memandangkan negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata kebimbangan rakyat dengan keadaan semasa penularan COVID-19 dan hal berkaitan ketika ini perlu diambil kira.

"Pilihan raya tak perlu diadakan sebab kita baharu sahaja selesai pilihan raya... tetapi kalau tempoh pilihan raya belum habis dua tahun dan kita nak buat lagi, saya fikir itu tidak praktikal dan rakyat ada lunas untuk marah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Permuafakatan dan menerima keahlian baharu Bersatu Jelebu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata soal menentukan calon Perdana Menteri juga tidak sesuai diputuskan ketika ini sebaliknya keutamaan hendaklah ke arah membantu rakyat yang menghadapi kesan penularan COVID-19.

"Jadi kita ketepikan dulu, kita jangan berlumba-lumba ingin mendapatkan tempat sebagai PM, semua parti politik perlu bersatu membantu rakyat... bila wabak ini selesai, saya kira sesiapa pun boleh cuba untuk jadi PM," katanya.

Terdahulu, Rais, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jelebu, menerima borang keahlian daripada 20 ahli Penggerak Komuniti Negara Jelebu yang diketuai Pengerusinya, Tang Jay Soon yang juga bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Jelebu untuk menyertai bahagian itu.

-- BERNAMA