KUALA LUMPUR: “Tidak sedar sudah selesai, dan tidak sakit.”

Itu reaksi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta berkongsi pengalaman menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera (HAT)Tuanku Mizan, Wangsa Maju hari ini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu berhubung keselamatan vaksin.

“Jangan bimbang tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan dan jangan dengar cerita-cerita yang tidak sahih (mengenai vaksin).

“Saya nak beritahu tadi saya pun tak sedar suntikan telah pun selesai.  Sedang berborak dengan jururawat tadi, dia beritahu sudah selesai.

“Maknanya tiada ada rasa apa-apa pun. Tak terasa sakit apa pun. Tak sedar dan tak sakit,” katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.

Menurut beliau lagi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah usaha kerajaan untuk mengawal penularan COVID-19 di, selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, beliau menegaskan, masyarakat tidak perlu khuatir dengan keberkesanan vaksin Pfizer memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkaitan di negara ini telah melakukan ujian terhadap keselamatan vaksin itu.

“Saya harap kita percaya apa yang dilakukan oleh kerajaan ini. Seperti yang saya katakan, ia untuk menyekat penularan COVID-19, selain strategi sebelum ini iaitu di bawah KKM dan juga strategi bukan kesihatan seperti kawalan pergerakan,” ujarnya.

BACA: Ismail Sabri, pegawai tertinggi ATM terima suntikan vaksin COVID-19

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Tidak ketinggalan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; serta Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.