Tidak setuju dengan keputusan untuk bercerai, seorang lelaki menetak isterinya menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan tangan dalam kejadian di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.40 pagi daripada seorang pembantu perubatan dari Klinik Ladang St Helier memberitahu seorang wanita yang berlumuran darah berada di dalam longkang di belakang rumahnya.

Beliau berkata, pada Selasa lepas, pasangan itu telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara Bahau untuk mendaftarkan perceraian dan apabila pulang ke rumah, mereka bertengkar.

Bagaimanapun, pertengkaran itu berakhir apabila wanita itu balik ke rumah ibunya di Taman Megah Mahsan, sebelum kembali semula ke kediamannya selepas anak-anak pulang dari sekolah.

Menurutnya, sehari kemudian, pasangan berkenaan sekali lagi bertengkar dengan si suami yang berumur 39 tahun menuduh isterinya yang tiga tahun lebih muda daripadanya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Lelaki itu kemudiannya mengambil sebilah parang pendek berhulu hitam yang ada di belakang rumah dan menetak isterinya di leher kiri," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Khairiel berkata, kejadian itu disaksikan oleh anak ketiga mereka yang berumur 11 tahun .

Menurutnya, pasangan itu telah berkahwin selama 18 tahun dan mempunyai enam anak perempuan.

Beliau berkata, penoreh getah itu mengalami kecederaan akibat tetakan di bahagian leher, tangan kanan dan tangan kiri selain patah lengan kanan dan retak pada tangan kiri.

Dia kini sedang dirawat di zon merah wad kecemasan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya polis telah menahan suami wanita itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - BERNAMA