Mengaitkan minyak sawit dengan kemusnahan hutan adalah tuduhan tidak wajar dan tidak berasas sama sekali.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, isu yang dibawa pengkritik itu sekali gus membawa kesan negatif kepada negara di mata dunia.

Menurut beliau, itu merupakan antara cabaran negara selain dituduh meletakkan keperluan untuk pembangunan berbanding keperluan hutan.

"Tuduhan ini membawa kesan negatif kepada negara yang sangat bergantung kepada industri minyak sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat kita bagi membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs)," katanya semasa berucap pada perasmian Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Pameran itu bertujuan meningkatkan imej dan reputasi negara dalam menjaga, memulihara dan menguruskan hutan secara berkekalan khususnya di kawasan koridor ekologi nasional iaitu Central Forest Spine (CFS) yang menjadi tulang belakang Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Ia mempamerkan gambar dan maklumat pemetaan kawasan litupan hutan negara, memberi fokus kepada menonjolkan kepelbagaian dan keunikan sumber biodiversiti negara, meningkatkan imej dan reputasi negara dalam menjaga, memulihara dan mengurus hutan secara berkekalan khususnya di kawasan CFS.

Selain itu, ia menunjukkan komitmen padu dan keupayaan negara dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan litupan hutan, menggalakkan sumbangan dana luar bagi melaksanakan program restorasi dan rehabilitasi hutan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi kawasan koridor ekologi nasional CFS dan menjaga sumber asli negara secara holistik.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, pembangunan industri kelapa sawit negara mematuhi segala peratusan yang ditetapkan.

Jelasnya, ia memastikan industri berkenaan tidak menjadi punca kemusnahan alam sekitar selain mengelakkan amalan yang tidak lestari seperti pemusnahan hutan dan habitat hidupan liar.

Pada majlis sama, pokok merbau diumum menjadi Pokok Kebangsaan.

Pokok itu dipilih sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti negara.

Pokok merbau juga merupakan simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

Pameran Hutan Kita turut mencipta rekod kebangsaan di mana telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Pameran Spesis Pokok Hutan Hujan Tropika Terbesar dengan sebanyak 850 spesies pokok hutan hujan dipamerkan.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, Akta Perhutanan Negara akan dipinda paling awal Mac tahun depan.

Ia antara usaha menangani aktiviti pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.