Tidak wujud unsur gangsterisme dalam kejadian di MRSM Kuantan - PDRM

Astro Awani
Ogos 13, 2022 12:25 MYT
Pihak polis telah menerima laporan dari pihak sekolah dan ibu mangsa serta mengambil tindakan merakam percakapan mereka yang terlibat bagi membantu siasatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Siasatan awal Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mendapati tidak wujud sebarang unsur gangsterisme dalam kejadian yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan.
Ketua Polis Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, pihak polis telah menerima laporan dari pihak sekolah dan ibu mangsa serta mengambil tindakan merakam percakapan mereka yang terlibat bagi membantu siasatan.
"Polis Kuantan ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang posting perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, seorang wanita menerusi laman sosial Facebook mendakwa anaknya dibuli apabila pakaian seragamnya diconteng dan rambutnya digunting semasa tidur.
Berikutan kejadian tersebut, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya melihat perbuatan buli sebagai satu isu yang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar MRSM yang didapati terlibat.

ISU TULAR: KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH KUANTAN Perbuatan Khianat Terhadap Pelajar MRSM Kuantan. Sumber: Polis Kuantanhttps://t.co/9Eppco3VDw pic.twitter.com/A0jSmow90E

— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) August 13, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#PDRM #Kuantan #mrsm kuantan #buli #laporan polis #siasatan #rakam percakapan