KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan selepas dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki tempatan di Ampang pada 11 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, kesemua suspek berusia 36, 40 dan 44 tahun itu berjaya diberkas 12 Januari lalu.

Jelasnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Selasa ketika mangsa berusia 30 tahun bekerja sebagai peniaga dan ejen jualan kenderaan sedang memandu kereta di Persiaran Pandan Prima, Ampang.

Bagaimanapun mangsa didatangi oleh dua anggota polis Unit Ronda Bermotorsikal (URB) lengkap memakai uniform polis daripada Balai Polis Ampang.

"Suspek seterusnya telah membuat pemeriksaan telefon pengadu dan mendakwa pengadu mempunyai kesalahan atas milikkan sesuatu dokumen.

"Suspek meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Akibat takut, pengadu seterusnya telah menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan atas talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan," jelasnya dalam kenyataan ringkas pada Khamis.

Bertindak atas maklumat, tiga suspek yang bertugas di Balai Polis Ampang ditahan kira-kira jam 2.00 petang pada 12 Januari lalu.

"Kesemua suspek bebas dari kesalahan dadah dan tatatertib serta berkhidmat dengan PDRM lebih daripada 10 tahun.

"Reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Ampang pada 13 sehingga 16 Januari 2022," katanya lagi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, modus operandi suspek dengan mengesan mangsa dan menjalankan pemerasan terhadap mangsa supaya tidak ditangkap atas kesalahan tertentu.

"Modus operandi suspek adalah dengan jalan mengesan mangsa dan menjalankan pemerasan dengan jalan meminta wang supaya tidak ditangkap.

"Usaha mengesan suspek yang masih bebas terutama pemilik akaun masih diteruskan. Soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas penglibatan kes ini dan kes-kes lain yang mempunyai modus operandi yang sama," jelasnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan boleh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana mana dua pada seksaan itu.

Orang ramai yang pernah mengalami kes yang sama diminta tampil memnbuat laporan polis.

"Pihak Polis IPD Ampang Jaya tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis dalam sesuatu jenayah yang dilakukan.

"Sentiasa bersikap adil dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat," jelas Mohamad Farouk.