KOTA BHARU: Tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak empat mangsa dengan bersenjatakan kapak di beberapa kedai telefon di sekitar Kota Bharu dari 24 April hingga 17 Julai lepas.

Tertuduh Wan Mohamad Amirul Aizzat, 23, dan Che Aliff Afendi, 36, kedua-duanya penggangur dan Wan Ahamad Syakir Idaham Mohd Noor, 19 yang bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Mohamad Amirul, didakwa telah melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 19 tahun dengan mengambil wang tunai berjumlah RM1,400 di kampung Kok Lanas pada 8 pagi, 24 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Che Aliff didakwa merompak RM159 daripada seorang wanita berusia 40 tahun dengan bersenjatakan sebilah kapak pada 1.35 tengah hari, 14 Julai lepas di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Wan Ahamad Syakir dituduh bersama-sama seorang yang masih bebas merompak dan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap terhadap seorang mangsa (lelaki) berusia 29 tahun dalam kejadian di Jalan Kayu Rendang, Melor antara 8.30 pagi hingga 9 pagi, pada 15 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pula, Wan Ahamad Syakir dan Che Aliff Afendi didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan kapak terhadap dua mangsa berusia 20 dan 40 tahun di sebuah kedai di Jalan Kuala Krai Batu 11, Kadok, 6.30 petang 17 Julai lepas.

Pertuduhan keempat didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tiga beradik terbabit tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA