SUNGAI PETANI: Helah tiga beranak yang menjalankan kegiatan mengedar dadah di sebalik perniagaan makanan sejuk beku terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah merampas 54.7 Kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM2.18 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan Mitsubishi Triton pada jam 8.10 pagi di hadapan sebuah rumah di Bandar Aman Jaya di sini, Isnin lalu.

Katanya, suspek berusia 30 tahun itu pada mulanya cuba melarikan diri dengan keluar dari kenderaan terbabit, namun berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut menemui bungkusan guni di tempat duduk penumpang belakang.

Kamarul Zaman berkata, turut ditahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam kereta Honda City yang diparkir bersebelahan Mitsubishi Triton berkenaan.

Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudian melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan dan menahan seorang wanita berusia 36 tahun.

Pemeriksaan menemui 21 plastik hijau bertulis 'Chinese Pin Wei' mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 21.2 kg.




Siasatan lanjut menemukan 24 plastik berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 24.3 kg dan satu plastik hitam yang juga mengandungi syabu dianggarkan seberat 9.1kg di tempat letak kaki bahagian penumpang belakang.

“Mereka cuba mengaburi mata kita di sebalik perniagaan (dengan) mengambil kesempatan untuk mengedar dadah… jika dadah-dadah ini terlepas di pasaran ia boleh digunakan penagih seramai 547,000 orang iaitu melebihi setengah juta orang,” kata Kamarul Zaman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, pada Rabu.



Menurut beliau, polis turut menyerbu sebuah premis perniagaan di Pusat Komersial Saujana pada pukul 9 pagi hari sama dan menahan seorang lagi lelaki warga emas berusia 70 tahun.

Siasatan mendapati, tiga suspek yang ditahan mempunyai hubungan keluarga iaitu lelaki warga emas merupakan bapa kepada dua anaknya yang juga suspek wanita dan lelaki berusia 30 tahun.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, namun hasil pemeriksaan lanjut dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita tiga kereta, lori dan dua motosikal serta wang yang keseluruhannya bernilai RM709,087.