Tiga cedera rusuhan dekat Plaza Low Yat

Hakim Rahman
Julai 12, 2015 23:23 MYT
Polis turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - Foto Astro AWANI/Hakim Rahman
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan susulan kejadian rusuhan berhampiran Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.
Polis turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Siasatan juga dibuat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa turut memaklumkan, suspek yang ditahan adalah kerana disyaki cuba mencetuskan provokasi.
Insiden yang dicetuskan oleh pergaduhan itu bermula kira-kira 12.05 pagi Isnin berhampiran sebuah hotel apabila kumpulan perusuh bertindak menyerang seorang mangsa dengan menggunakan topi keledar.
Keadaan menjadi tegang selepas tujuh lelaki didakwa mengamuk di Plaza Low Yat apabila seorang rakan mereka didakwa ditipu penjual telefon bimbit di pusat beli belah tersebut.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tenang semula selepas polis mengarahkan orang ramai bersurai dari kawasan tersebut kira-kira 12.40 pagi.
Sehingga pukul 2 pagi polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan, FRU kekal berada di lokasi bagi mengawal keadaan.
BACA: Polis tutup laluan ke Plaza Low Yat, 4 individu ditahan
BACA: KPDNKK mulakan siasatan, akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta
BACA: Plaza Low Yat kecoh, tujuh lelaki mengamuk
Sementara itu Tajuddin turut meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di media sosial atau membuat sebarang kesimpulan yang boleh mengganggu kes berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai insiden kekecohan pada malam Ahad itu, beliau berkata sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan pintu besar pusat membeli-belah tersebut pada sekitar jam 8.30 malam.
Beberapa anggota polis cuba menyelamatkan mangsa dan terpaksa mengeluarkan senjata untuk menghalang perusuh tetapi tidak berjaya.
Tidak lama kemudian kedengaran beberapa bunyi letupan kuat dipercayai mercun.
Pada masa sama sekumpulan lelaki turut dilihat cuba memasuki bangunan berhampiran dan melepaskan kemarahan dengan memecahkan pintu premis berkenaan.
Beliau berkata, semua laluan berhampiran Plaza Low Yat termasuk Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang dikosongkan sehingga keadaan benar-benar selamat.
#gaduh KPDNKK #kementerian perdagangan dalam negeri #Koperasi dan Kepenggunaan #Low Yat #Muez Abdul Aziz