IPOH: Tiga pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000, Jun tahun lalu.


Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53 dan Mohd. Khairumin Sahdan, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara satu bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang Perak, JPJ Perak telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki.


Ia sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang lagi lelaki lain bagi kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Perbuatan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta antara pukul 10 pagi hingga 1.10 petang, 6 Jun 2021.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Aris.


Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM18,650.00 daripada ketiga-tiga tertuduh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) ASPRM 2009.