KOTA KINABALU: Tiga kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun ditemukan lemas ketika mandi di dalam sebuah kolam buatan di Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat pada petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata berdasarkan maklumat awal, dua kanak-kanak lelaki terbabit dikenali sebagai Wan Hermi, 11, dan Mohd Syahwan, 7, manakala seorang kanak-kanak perempuan dikenal pasti sebagai Nurul Isah, 11.

"Ketika kejadian, tiga kanak-kanak terbabit dipercayai mandi di dalam kolam yang digali untuk tujuan pembinaan. Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.36 petang.

"Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera serta EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) digerakkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di situ, ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar dari kolam oleh orang awam," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Ishak berkata kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri telah diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan dan EMRS, sebelum dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

"Maklumat yang diperoleh daripada pihak perubatan hospital itu mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia," katanya.

-- BERNAMA