KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pertambahan tiga kes positif COVID-19 melibatkan daerah Kuching, Miri dan Limbang.

Pertambahan tiga kes ini menjadikan jumlah kes positif di Sarawak meningkat kepada 755 kes setakat ini.

Menerusi sidang media pada Rabu, Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketiga-tiga kes ini dikategorikan sebagai kes yang telah mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi iaitu di Sabah.

Bagi kes ke-753, ia melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu dan singgah di Labuan sebelum tiba di Lapangan Terbang Miri pada 9 Oktober 2020.

“Kes merupakan seorang juruteknik di sebuah pelantar minyak di perairan Sabah dan telah berada di atas pelantar dari 8 September 2020 sebelum sign off pada 8 Oktober 2020.

“Setibanya di Lapangan Terbang Miri, kes dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan pada 11 Oktober 2020, kes menjalani saringan pertama dan didapati positif pada 13 Oktober 2020,” kata Uggah.

Kes telah dimasukkan ke Hospital Miri pada hari yang sama untuk menerima rawatan lanjut.

Bagi kes ke-754 melibatkan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kinarut pada 25 September 2020 sehingga 3 Oktober 2020.

Semasa di Sabah, kes dilaporkan pernah menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan ujian rTPCR pada 28 dan 30 September 2020 dan kedua-dua ujian itu adalah negatif.

“Kes juga telah menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat di Kinarut dan siasatan lanjut mendapati pak cik saudaranya yang menghadiri majlis sama telah disahkan positif pada 12 Oktober 2020.

“Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 3 Oktober 2020, kes menjalani ujian saringan dan kes dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari,” tambah Uggah.

Katanya lagi, keputusan ujian saringan pertama adalah negatif dan hanya disahkan positif pada 13 Oktober 2020 selepas menjalani ujian saringan yang kedua iaitu pada hari ke-10 kuarantin dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Manakala kes ke-755, melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah agama di Kimanis yang pulang ke Lawas kerana arahan penutupan sekolah di Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kes mendapat kebenaran pulang ke Sarawak pada 8 Oktober 2020 dan dihantar ke ICQ Merapok, Lawas menggunakan bas sekolah.

“Setibanya kes di Lawas, kes telah dibawa dan dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari," ujarnya lagi.

Kes menjalani saringan pertama COVID-19 pada 10 Oktober 2020 di pusat kuarantin dan disahkan positif pada 13 Oktober 2020.