Tiga kluster tibi di Kelantan babit sembilan kes

Dr Mohd Azman berkata pihaknya juga telah mengambil langkah pencegahan, terutamanya membabitkan institusi pendidikan. - Gambar fail
TANAH MERAH: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan tiga kluster Tuberkulosis atau tibi di Kelantan membabitkan dua jajahan dengan sembilan kes positif dikesan setakat ini.
Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata dua kluster di Kota Bharu, iaitu Guchil Bayam melibatkan dua kes dan Kampung Padang Salim (tiga kes) manakala satu lagi di Bachok (empat kes).
"Kesemua mereka dikesan menghidap tibi pada Disember tahun lepas dan langkah pencegahan sudah diambil termasuk membuat saringan ke atas keluarga dan kontak rapat bagi mengelakkan penularan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach Literasi Kesihatan Diabetes di Masjid Mukim Batu 11 di sini hari ini.
Dr Mohd Azman berkata pihaknya juga telah mengambil langkah pencegahan, terutamanya membabitkan institusi pendidikan dan menasihatkan mereka yang mempunyai simptom seperti batuk berpanjangan serta kurang selera makan untuk segera berjumpa doktor.
Selain itu, beliau berkata JKNK turut memberi tumpuan kepada masalah obesiti dalam kalangan penduduk Kelantan.
"Masalah ini perlu diambil serius kerana akan menyebabkan masalah diabetes dan akhirnya memberi kesan kepada kualiti kehidupan serta tekanan kewangan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Azman berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah melaksanakan taklimat kepada pengendali makanan dan peniaga yang mendapat lesen perniagaan di bazar Ramadan pada tahun ini.
"Taklimat telah bermula dan dijangka selesai minggu depan bagi memastikan pengendali makanan serta peniaga menyediakan makanan bersih, berkualiti dan sihat.
"Pada tahun lepas, sebanyak 228 kompaun dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan kerana tidak mematuhi garis panduan ditetapkan dan saya harap tiada kompaun dikeluarkan tahun ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


