Tiga lagi aktiviti, industri tidak dibenarkan keluar e-Invois disatukan mulai Januari 2026

Lim berkata ini melibatkan transaksi jualan barang dan penyediaan perkhidmatan yang melebihi nilai ambang RM10,000 selain industri elektrik dan telekomunikasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pertambahan tiga lagi aktiviti dan industri yang tidak dibenarkan membuat pengeluaran e-Invois disatukan mulai 1 Januari 2026, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata ini melibatkan transaksi jualan barang dan penyediaan perkhidmatan yang melebihi nilai ambang RM10,000 selain industri elektrik dan telekomunikasi.
"Bagi industri elektrik, pertambahan itu melibatkan pembekal perkhidmatan elektrik utama di Malaysia yang terbabit dalam operasi pengagihan, pembekalan atau penjualan eletrik kepada pengguna akhir.
"Industri telekomunikasi pula merangkumi pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang menawarkan pelan pascabayar, langanan internet serta pakej perjualan peranti elektronik kepada pelangan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai inisiatif kerajaan bagi menetapkan garis panduan khusus mengenai bentuk penyatuan transaksi dibenarkan di bawah sistem e-Invois bagi tujuan ketelusan pematuhan.
Mengulas selanjutnya, Lim berkata perniagaan hanya dibenarkan untuk menyatukan transaksi jualan barang dan perkhidmatan bagi transaksi tertentu berdasarkan butiran resit dikeluarkan kepada pembeli.
Peniaga juga, katanya, perlu mengemukakan butiran resit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh hari pertama pada bulan berikutnya.
Untuk rekod, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) telah menetapkan tujuh aktiviti dan industri yang tidak dibenarkan mengeluarkan e invois yang disatukan merangkumi industri automotif iaitu jualan kenderaan bermotor; jualan tiket penerbangan dan penerbangan peribadi; barangan emas dan barangan mewah.
Turut disenaraikan adalah industri pembinaan iaitu pembinaan sebuah rumah atau kompleks, pemborong dan peruncitan barangan pembinaan, aktiviti perjudian dan permainan berlesen serta bayaran pada agen atau pengedar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


