Tiga lagi klinik kesihatan di Melaka tawar saringan rawatan HIV/AIDS

Fasiliti kesihatan seperti Klinik Kesihatan Ayer Keroh (gambar), Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan Klinik Kesihatan Merlimau kini menawarkan saringan serta rawatan bagi HIV/AIDS. - Facebook Klinik Kesihatan Ayer Keroh
MELAKA: Tiga lagi klinik kesihatan di Melaka dilantik sebagai "STI Friendly Clinic" yang menawarkan perkhidmatan saringan dan rawatan penyakit jangkitan seksual khususnya HIV/AIDS.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata fasiliti kesihatan itu ialah Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan Klinik Kesihatan Merlimau.
"Sebelum ini, hanya satu klinik kesihatan di negeri ini dilantik sebagai STI Friendly Clinic iaitu Klinik Kesihatan Jalan Gereja namun kini inisiatif diperluaskan ke tiga lagi klinik dalam memperluaskan perkhidmatan saringan HIV/AIDS supaya jangkitan dapat didiagnos awal dan rawatan terapi antiretroviral (ART) dapat dimulakan segera.
"Setakat ini, STI Friendly Clinic dilaksanakan di empat klinik kesihatan dan kita dalam cadangan untuk menambah lagi jumlah klinik berkenaan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan saringan atau rawatan paling hampir dengan rumah mereka tetapi kita perkukuhkan perkhidmatan di empat klinik ini dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Melaka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri Bukit Katil yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.
Beliau berkata pelaksanaan STI Friendly Clinic merupakan antara usaha Kementerian Kesihatan menerusi Jabatan Kesihatan negeri untuk merealisasikan sasaran sifar kes baharu HIV di bawah inisiatif "Melaka Getting to Zero HIV".
Pada masa sama, beliau berkata masyarakat perlu menghindari stigma atau diskriminasi terhadap penghidap HIV/AIDS kerana tindakan itu tidak membantu golongan berkenaan untuk mendapatkan saringan atau rawatan sebaliknya berkemungkinan menyebabkan jangkitan kepada lebih ramai orang.
Sementara itu, Dr Ruzita berkata 97 kes baharu HIV direkodkan di Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Nov lepas dengan 35 peratus daripada kes berkenaan dikategorikan sebagai AIDS, dipercayai penghidap lewat mendapatkan saringan atau rawatan.
Beliau berkata walaupun jumlah tersebut menurun berbanding 118 kes baharu HIV pada tahun lepas, adalah penting untuk terus meningkatkan tahap kesedaran berkaitan HIV/AIDS dalam kalangan masyarakat yang setakat ini masih rendah.
Beliau berkata separuh daripada kes jangkitan baharu HIV pada tahun ini adalah dalam kalangan individu berusia 13 hingga 29 tahun dan 60 peratus daripada kes berkenaan berpunca daripada hubungan homoseksual.
"HIV adalah peringkat awal jangkitan dan apabila memasuki peringkat AIDS, sistem imuniti penghidap sangat rendah hingga tidak dapat melawan jangkitan penyakit sekali gus boleh membawa maut.
"Apabila mereka lambat mendapatkan rawatan atau saringan HIV/AIDS, kita bimbang ia akan menjangkiti lebih ramai orang lagi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


