SEREMBAN: Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan heroin keseluruhan bernilai RM22,000, dalam dua serbuan berasingan di Jempol dekat sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata bertindak atas maklumat aktiviti dadah kira-kira pukul 4 petang, membawa kepada tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun di tepi jalan besar Felda 7, Gemas, dan merampas dadah jenis heroin seberat 16 gram (g).

"Lelaki yang memiliki lima rekod jenayah berkaitan dadah itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu di dalam sebuah kebun getah Felda Palong 7, Jempol melalui seorang lelaki dengan panggilan King.

"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu garaj kereta hadapan sebuah rumah di Felda Palong 7, dan menahan dua lelaki berusia 42, dan 48 tahun termasuk individu bergelar King yang bertindak sebagai dalang utama, serta merampas dadah jenis heroin dan syabu berjumlah 240g," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hoo berkata turut dirampas ialah sebuah kereta Proton Wira biru, selain hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah berkenaan dan juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, katanya.

-- BERNAMA