MELAKA: Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan segera melakukan kerja baik pulih ke atas tiga masjid bersejarah yang rosak akibat banjir gelombang kedua baru-baru ini.

Pengurus Besar Perzim Mohd Nasruddin Rahman berkata ketiga-tiga masjid tersebut iaitu Masjid Lubok China, Masjid Brisu dan Masjid Datuk Machap di Alor Gajah, yang merupakan merupakan antara 56 masjid yang diwartakan sebagai masjid warisan di negeri itu, di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Paling terjejas adalah Masjid Datuk Machap dan pemeriksaan mendapati masjid ini mengalami kerosakan agak serius, melibatkan bumbung yang bocor.

"Kami telah kemukakan permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk kerja baik pulih dan insya-Allah rasanya akan dapat peruntukan baik pulih, memandangkan masjid ini juga diwartakan di bawah Enakmen Warisan Negeri Melaka," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Khamis.

Selain membaiki kebocoran bumbung, Mohd Nasruddin berkata kerja-kerja lain seperti mengecat dan membaiki serta membesarkan longkang di sekeliling masjid yang dibina sekitar tahun 1865 itu akan dilakukan.

Bagi dua masjid lagi serta yang lain beliau menjelaskan, Perzim akan membaikinya menerusi peruntukan di bawah tabung pemuliharaan negeri, namun ia berdasarkan kepentingan.

"Jika sangat teruk seperti Masjid Lubok China dan Masjid Brisu yang dilanda banjir, kita akan baiki guna peruntukan tersebut, yang mana dalam 20 hingga 30 peratus peruntukan adalah untuk baiki kebocoran.

"Bagaimanapun, setakat yang kita pantau, semua dalam keadaan terkawal walaupun struktur bangunan adalah lama," katanya.

Mohd Nasruddin berkata setakat ini Perzim tidak menerima sebarang laporan kerosakan melibatkan makam atau kubur lama akibat banjir.

"Lawatan dan pemantauan juga telah dilakukan seperti di Makam Tun Teja dan Makam Hang Tuah, dan setakat ini masih terkawal," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui timbul kebimbangan dengan trend banjir dan hujan yang melanda negeri berkenaan, yang dilihat mampu merosak dan memusnahkan artifak bersejarah.

"Disebabkan itu, kami sentiada berwaspada dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan artifak yang terdapat di negeri ini selamat dari banjir, seperti melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan perparitan secara berkala.

"Ini penting memandangkan rata-rata artifak bersejarah termasuk bangunan, makam dan binaan terdapat di kawasan berhampiran sungai, kerana ia merupakan penempatan awal penduduk dahulu kala," katanya.

Mengulas mengenai Kampung Morten yang turut terkesan dengan bencana tersebut, beliau berkata pihak sentiasa memantau keadaan perkampungan tradisional tersebut, walaupun kebanyakan rumah di situ dibina bertiang tinggi.

"Setakat ini, kawasan di situ masih terkawal dan jika ada rumah yang rosak kami akan cuba bantu untuk kerja baik pulih," katanya.

-- BERNAMA