TAIPING: Sepasang suami isteri antara tiga terbunuh dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Trong semalam.

Dalam nahas sekitar jam 10.30 malam itu, Mohd Fahimi Shaffie dan isterinya, Nor Aserah Ismail masing-masing berusia 36 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza serta penumpang kereta jenis Honda Civic, Haminah Majid, 73, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, maklumat awal kemalangan diterima melibatkan dua kereta dan sebuah lori.

"Pasangan suami isteri yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anak mereka cedera.

"Pemandu kereta Honda Civic mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan, namun ibunya berusia 73 tahun yang juga penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua kanak-kanak yang juga penumpang kereta sama tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.




Menurut Mohamad Nasir, pemandu dan kelindan lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki telah melanggar bahagian belakang lori yang dipandu di lorong kiri jalan.

"Kemudian datang sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta Perodua Bezza yang mengakibatkan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian