Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga negara bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan kepada Malaysia bagi membantu negara berikutan beberapa negeri dilanda bencana banjir baru-baru ini.

Beliau berkata hasil hubungan baik negara dengan China, Singapura dan Amerika Syarikat, ketiga-tiga negara itu melahirkan hasrat tersebut sebagai memperkukuh jalinan kerjasama selama ini.

Katanya, Singapura telah membekalkan mesin proses pembersihan air bagi digunakan di negeri-negeri dilanda banjir manakala China pula akan menghantar khemah bagi kegunaan mangsa banjir.

"Amerika Syarikat turut tampil berhubung dengan Malaysia untuk mengambil maklum apa lagi keperluan yang kita perlukan dalam membantu mangsa banjir.

"Ini satu kelebihan kepada kita namun apa yang penting kita tak boleh harapkan bantuan luar semata-mata dan ia sebagai bantuan tambahan selain sumbangan daripada rakyat negara ini sendiri," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan kepada mangsa banjir oleh Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) yang disampaikan isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Majlis yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Barangan Banjir, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang di sini menyaksikan sumbangan telekung, sejadah dan tudung masing-masing sebanyak 1,000 helai diterima KPWKM untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata sehingga semalam, sebanyak 312 penerbangan menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan bagi menghantar 748.6 tan bekalan untuk mangsa banjir di negeri-negeri terjejas menerusi Ops Murni.

Beliau berkata Pusat Pengumpulan Barangan Banjir setakat ini telah menerima 3,256 tan bekalan bantuan untuk mangsa banjir daripada pelbagai pihak.

"Daripada jumlah itu, 2,999 tan sudah diagihkan melalui jalan darat dan bekalan yang masih belum diagihkan setakat semalam adalah sebanyak 256.4 tan manakala di Depoh Simpanan Pertahanan di Sungai Buloh pula sudah melakukan penghantaran barangan dan bantuan sebanyak 179 tan ke semua kawasan banjir," katanya.

Hishammuddin berkata selain penghantaran barangan kepada mangsa banjir, fokus juga akan diberikan kepada proses pasca banjir dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan pelbagai pihak.