Tiga nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong sejak Selasa lalu, ditemui dalam keadaan selamat pada petang Rabu.

Mereka dijumpai oleh nelayan lain yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu sejak kes dilaporkan.

Timbalan Pengarah Zon Maritim (Operasi) Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, ketiga-tiga mangsa dijumpai di posisi 22 batu nautika dari Tanjung Kidurong pada jam 3.05 petang.

"Bot yang dinaiki mangsa terbabit telah ditunda balik oleh bot nelayan lain tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM Kemena) pada jam 4.35 petang," katanya dalam kenyataan di sini.

BACA: Tiga nelayan termasuk dua beranak dikhuatiri hilang selepas keluar memancing

Difahamkan, lokasi mangsa ditemui merupakan satu kawasan perairan menangkap ikan nelayan tempatan.

Menurut Effendy, keadaan semua mangsa dilaporkan baik cuma mereka agak kelaparan selepas kehabisan bekalan makanan.

Terdahulu, ketiga-tiga nelayan terbabit dilaporkan keluar menangkap ikan di laut dengan menaiki sebuah bot pada jam 3 pagi Selasa lalu dan dijangka pulang pada hari yang sama namun kelibat mereka gagal dilihat sehingga pagi tadi.

Sehubungan itu, laporan polis telah diterima pada jam 4.27pagi tadi oleh ahli keluarga mangsa dan pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah melancarkan operasi SAR pada jam 9.25 pagi.

Effendy berkata, punca kehilangan tiga nelayan tersebut adalah disebabkan enjin bot rosak.

Berikutan penemuan mangsa, operasi SAR telah ditamatkan pada 4.40 petang.