MACHANG: Tiga pekerja warganegara Bangladesh maut selepas dipercayai tertimbus tanah semasa mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan tapak bagi lebuh raya, dekat Kampung Maka, Pulai Chondong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

"Kesemua mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibawa ke Hospital Machang untuk proses selanjutnya," katanya.

Seorang saksi kejadian Anies Asiykin Ariffin, 29, berkata beliau hanya sedar mengenai kejadian itu selepas terdengar jeritan beberapa pekerja di tapak pembinaan itu yang berlari meminta pertolongan daripada pemandu jentera pengorek untuk menyelamatkan rakan mereka yang tertimbus.

"Pada waktu itu, saya sedang memasak di dapur, jarak antara rumah saya dengan tempat kejadian kira-kira 50 meter, saya terkejut apabila dengar jeritan pekerja-pekerja terbabit," katanya.

Seorang lagi saksi Amiro Anuar, 36, pula berkata beliau terus bergegas pulang ke rumah dari tempat kerjanya di salah sebuah sekolah di sini, selepas menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Pada waktu itu, saya amat bimbang mengenai apa yang berlaku kerana rumah saya sangat dekat dengan lokasi kejadian, kira-kira dalam 50 meter.

"Apabila sampai di rumah, saya lihat ramai orang kampung melihat kejadian dan ada beberapa polis serta bomba turut berada di lokasi berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus," katanya.

-- BERNAMA