MELAKA: Tiga peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM108,900, tahun lepas.

Ketiga-tiga tertuduh Darus Jidin, 49, Kamaruddin Ab Kadir, 58, dan Mohd Fahmi Fikri Mohd Nor, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Darus sebagai pemilik syarikat D-J Warisan Enterprise didakwa mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah RM46,400 kepada seorang ejen Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program berkenaan.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan borang pengesahan yang mengandungi pernyataan palsu mengenai 'Nama Pekerja Baharu' sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu tidak bekerja dengan syarikat itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 9 Mac 2021.



MAHKAMAH-PENJANA 2 (AKHIR) MELAKA



Kamaruddin pula dituduh atas pertuduhan sama di bawah nama Perusahaan Syafi Muhjah TC membabitkan jumlah RM23,800 di tempat yang sama pada 18 Mei tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Fahmi Fikri turut menghadapi pertuduhan sama atas nama Perusahaan Arrizqi 46 Enterprise melibatkan tuntutan RM38,700 di lokasi sama, 29 Mei tahun lepas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 kepada Darus manakala jaminan RM8,000 masing-masing kepada Kamaruddin dan Mohd Fahmi Fikri, serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di mana-mana pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang pendakwaan berlangsung.

Mahkamah menetapkan 17 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA