MALAYSIA
Tiga penjawat awam direman kes tuntutan palsu bekalan lembu betina RM400,000

Mereka disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua badan berkanun di Johor.
SEGAMAT: Lima individu termasuk tiga penjawat awam direman enam hari sehingga 15 Sept ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkaitan bekalan lembu betina bernilai kira-kira RM400,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rahimah Abd Majid selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Sesyen Segamat, pagi tadi.
Menurut sumber, kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Segamat antara 11 pagi hingga 2 petang.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua badan berkanun di Johor, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan."Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Febuari 2023," menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami