MALAYSIA
Tiga persidangan ketenteraan tingkat kerjasama pertahanan Malaysia-AS

Shabazz (kanan), yang memiliki dua ijazah kedoktoran dan empat ijazah sarjana, merupakan seorang daripada lima chaplain Muslim dalam angkatan tentera AS. - Foto Facebook/Khallid Shabazz PhD
KUALA LUMPUR: Tiga persidangan ketenteraan utama anjuran bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Pasifik Amerika Syarikat (USARPAC) dari 23 hingga 26 Sept ini di Kuala Lumpur menjadi platform untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Chaplain USARPAC Kolonel Khallid Shabazz berkata perhimpunan itu memberikan peluang kepada pemimpin ketenteraan untuk mengadakan perbincangan secara langsung mengenai isu-isu utama termasuk kecerdasan buatan (AI), kesediaan operasi dan perkongsian strategik.
Beliau berkata persidangan itu menghimpunkan ketua tentera, pemimpin kanan dan anggota dari seluruh Indo-Pasifik untuk memupuk persahabatan, membentuk gabungan dan meningkatkan kerjasama keselamatan serantau.
"Perbincangan secara langsung oleh pemimpin untuk bertukar-tukar idea dan mencari penyelesaian, itulah perhubungan berkesan. Menghantar e-mel atau komunikasi maya tidak mempunyai kesan yang sama seperti duduk bersama untuk memahami apa yang berlaku di lapangan," katanya kepada Bernama sebagai tetamu di program The Nation di Bernama TV pada Selasa.Shabazz, yang memiliki dua ijazah kedoktoran dan empat ijazah sarjana, merupakan seorang daripada lima chaplain Muslim dalam angkatan tentera AS.
Shabazz yang dinaikkan pangkat ke kolonel pada 2018 menjadi chaplain Muslim berpangkat paling tinggi dalam angkatan tentera AS. Dengan lebih 35 tahun perkhidmatan, beliau menumpukan kerjayanya pada membimbing tentera daripada pelbagai agama.
Menjelaskan peranannya, beliau berkata USARPAC menjalankan lebih 30 latihan setiap tahun dengan rakan kongsi serantau justeru chaplain memainkan peranan penting dalam membantu anggota tentera dan pemimpin yang mungkin berdepan isu peribadi seperti konflik rumah tangga, kemurungan dan cabaran penyesuaian.
"Antara peranan utama chaplain adalah apa yang kami panggil 'Ministy of Presence' (kementerian kehadiran), yang bermaksud berada bersama anggota di mana sahaja mereka berada, membina kepercayaan dan menunjukkan keprihatinan yang tulus. Hubungan adalah segala-galanya dan apabila anggota tentera melihat anda mengambil berat terhadap mereka, itulah cara anda mendapatkan akses untuk membantu mereka," katanya.
Sebagai chaplain Muslim, Shabazz menekankan bahawa misinya melangkaui sempadan agama.
"Jika seorang askar beragama Katolik dan memerlukan bimbingan rohani, saya boleh merujuk mereka kepada paderi Katolik. Chaplain memberi tumpuan kepada menjadikan individu lebih kuat dan membantu mereka memanfaatkan teras rohani mereka, tanpa mengira kepercayaan," katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan ketahanan rohani untuk kesediaan terutamanya semasa kerahan dan konflik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami