Skip to main content

Malaysia

Tiga PPS dibuka tempatkan mangsa banjir di dua daerah di Melaka

81761925020_PPSNadmaBanjir.jpg
Kamarulsyah berkata setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di kedua-dua PPS itu masih dalam proses pemindahan. - Gambar fail
Advertisement

MELAKA: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dari 22 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata PPS pertama yang dibuka ialah di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah pada 2 petang bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga kawasan, iaitu Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah dan Kampung Pulau Semut.

“Setakat ini, 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Perkim Masjid Tanah bagi daerah Alor Gajah.

“Bagi daerah Melaka Tengah pula, dua PPS telah dibuka, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Ulu pada 3.10 petang manakala Japerun Pantai Kundor dibuka pada 3.27 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulsyah berkata setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di kedua-dua PPS itu masih dalam proses pemindahan.

Beliau berkata 19 kawasan direkodkan terjejas akibat banjir di daerah Melaka Tengah, iaitu Kampung Bandar Kaba, Taman Wan Show Bukit Cina, Kampung Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Melawis, Taman Seri Jati, Kampung Kandang, Kampung Balai Panjang, Kampung Batu Berendam dan Kampung Padang Pokok Mangga.

Turut terjejas ialah Kampung Bakar Batu, Kampung Batu Hampar, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Musa, Kampung Solok Bukit Palah, Kampung Bachang, Kampung Sarang Helang, Kampung Peringgit dan Bertam Ulu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement