Sebanyak tiga projek pembangunan Bio Desaru seluas 2,100 ekar (1 ekar = 0.04 hektar) yang ditandatangani antara 2007 dan 2014 didapati tidak aktif, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan pada Isnin.

Bio Desaru merupakan sebuah lembah makanan organik seluas 8,912.5 ekar yang terletak di Mukim Sedili Kechil dan Mukim Pantai Timur, dekat Kota Tinggi, di sini yang dibangunkan oleh Bio Desaru Sdn Bhd (BDSB).

Menurut laporan itu enam daripada sembilan projek pembangunan secara kerjasama perniagaan yang ditandatangani antara 2008 dan 2014 mempunyai kemajuan bawah 60 peratus daripada jumlah kawasan yang telah dipersetujui.

"Prestasi pembangunan secara pajakan hanya mencapai 74.3 peratus (1,082 ekar) daripada keseluruhan kawasan seluas 1,457 ekar yang telah ditandatangani dengan pelabur manakala prestasi pembangunan secara usaha sama hanya mencapai 69.7% (1,268 ekar) berbanding luas keseluruhan 1,818 ekar yang telah ditandatangani dengan pelabur," kata laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut secara keseluruhannya prestasi kewangan dan tadbir urus bagi pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga Julai 2017 adalah memuaskan kerana BDSB mencatatkan keuntungan bagi tahun 2014 hingga 2016 serta mempunyai aliran tunai positif.

Selain itu, pengurusan aktiviti berkaitan pembangunan Bio Desaru adalah memuaskan kerana 4,694 ekar (59.2 peratus) daripada 7,927.5 ekar tanah boleh diusahakan dan telah mempunyai pelabur yang aktif.

Justeru itu, laporan itu mengesyorkan agar syarikat tersebut menyediakan pelan tindakan bagi projek usaha sama yang mengalami kelewatan pembangunan.

Selain itu, BDSB juga dicadangkan agar meningkatkan tahap penilaian terhadap kertas cadangan pelabur yang dikemukakan bagi memastikan projek boleh dilaksanakan dengan teratur selain menyediakan data pengeluaran hasil terkumpul daripada Bio Desaru.

BDSB adalah syarikat milikan penuh JBiotech Holdings Sdn Bhd (JBH) yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech).

-- BERNAMA