MELAKA: Tiga pulau di Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol diwartakan sebagai Taman Laut Negara pada 4 April lepas, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sedang mengkaji pelbagai aspek sebelum taman laut itu dibuka secara rasmi kepada pelancong untuk aktiviti riadah dan marin termasuk menyelam skuba, terutama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Taman Laut Negara ini baru berjaya diwartakan dan banyak pertimbangan atau perkara yang perlu diteliti secara terperinci melibatkan pembukaan Taman Laut Negara ini kepada orang awam selepas ini, antaranya harga tiket, jeti bersesuaian untuk penumpang naik dan masa operasi dan had pengunjung ke taman berkenaan.

"Pertimbangan ini penting kerana kita perlu mengawal kemasukan pengunjung ke Taman Laut Negara bagi mengelak pelbagai kemungkinan yang tidak diingini seperti kerosakan terumbu karang yang terdapat di perairan taman laut tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pelepasan Benih Ikan untuk Pertandingan Memancing Sempena TMM 2024 di Sungai Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar.

Turut hadir Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong dan Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.

Dr Muhamad Akmal berkata pelancaran taman laut itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan lokasi berkenaan akan disenaraikan sebagai destinasi wajib dikunjungi pada TMM 2024 dengan pelbagai aktiviti dan program dirangka bagi menarik pelancong.

Selain itu beliau berkata sebanyak 150,000 benih ikan lampam sungai, tilapia merah dan keli tempatan dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000 dilepaskan di perairan umum dan tertutup di Sungai Melaka.

"Masing-masing 50,000 benih ikan keli tempatan dan tilapia merah dilepaskan di perairan tertutup di Sungai Melaka, manakala 50,000 benih ikan lampam sungai dilepaskan di perairan umum di sungai sama.

"Pelepasan benih ikan berkenaan antaranya bertujuan menambah dan mengekalkan stok sumber ikan di perairan umum negeri dan memperkenalkan perikanan rekreasi sebagai satu aktiviti utama di perairan berdekatan dengan bandar," katanya.

-- BERNAMA