Tinjauan Astro AWANI mendapati, ada antara pengguna yang sanggup beratur seawal 1.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, antara punca utama kejadian ini ialah apabila berlaku permohonan yang banyak secara drastik susulan laporan di media sosial kononnya tempoh enam bulan untuk memohon atau memperbaharui pasport yang berpunca daripada masalah bekalan oleh pihak pembekal.
"Keadaan ini menimbulkan situasi panik dan menyebabkan peningkatan permohonan dalam jumlah yang luar biasa.
"Sekarang ni kita nak pastikan jumlah penghasilan pasport tidak terhenti sebab ada beberapa tempat yang hanya tinggal beberapa puluh sahaja stok yang boleh kita bekalkan.
"Jadi, sebab itu kita hadkan jumlah permohonan harian bagi memastikan setiap pemohon dapat menyelesaikan urusan mereka selaras dengan piagam pelanggan kita," katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah mengambil langkah drastik untuk memanggil pembekal bagi menampung keperluan semasa.
"Saya panggil pembekal kerana perjanjian konsesi jelas mengatakan mereka perlu membuat pembekalan yang sepatutnya.
"Mereka sudah yakinkan saya untuk bekalkan 70,000 passport setiap minggu.
"Insya-Allah proses menyiapkan passport dalam tempoh satu jam seperti yang kita janjikan dalam piagam pelanggan dipenuhi," tambahnya.
Sejak Januari hingga Julai 2016, sebanyak 1.46 juta permohonan telah diselesaikan Jabatan Imigresen Malaysia.