MALAYSIA

Tiga rentung dalam kebakaran kilang di Banting

Afiezy Azaman 15/01/2026 | 02:50 MYT
- Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Tiga individu ditemukan rentung dalam kebakaran empat kilang dengan dua daripadanya musnah sepenuhnya di Kawasan Perindustrian, Jalan 5 Kampung Olak Lempit, di Banting, pada Rabu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.03 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses minyak dan pemadaman secara 'defensive' dilakukan kerana berlaku letupan di dalam kilang berkenaan.

"Kerja 'firebreak' berjaya dilakukan daripada merebak ke kilang sebelah. Kemudian kebakaran turut dilaporkan berlaku membabitkan dua kilang pada 1.15 pagi sebelum ia berjaya dikawal daripada merebak.

"Kebakaran membabitkan dua kilang musnah terbakar 100 peratus, manakala dua kilang lain masing-masing terbakar lima dan satu peratus.

"Pihak bomba menjumpai kesemua mangsa semasa kerja-kerja 'overhaul'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), BBP Dengkil, BBP Cyberjaya, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Presint 7 (Putrajaya) serta BBP Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, operasi turut membabitkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Serdang dan PBS Rantau Panjang selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).






#JBPM Selangor #rentung #kebakaran #kilang #Banting