Sebelas warga Indonesia menangis kegembiraan selepas polis memecah masuk sebuah rumah dan membebaskan mereka daripada dikurung, dipukul dan dipaksa bekerja selama tiga tahun tanpa sebarang upah di Bintulu, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar, berkata serbuan dilakukan sekitar jam 2.45 petang setelah pihaknya mendapat maklumat berlakunya aktiviti pemerdagangan orang di rumah terbabit.

"Sepasukan anggota siasatan jenayah Bintulu diketuai oleh Inspektor Nixon Malang telah bertindak menyerbu rumah teres satu tingkat di Taman Heng, Jalan Sebiew dekat sini.

Bagaimanapun kata Dev lagi, serbuan tersebut tidak mudah kerana polis terpaksa memotong mangga di pintu hadapan rumah terbabit apabila tuan rumah enggan membukanya.

"Setelah itu, pasukan serbuan terpaksa memecahkan satu lagi pintu untuk membuka bilik khas yang turut dikunci dari luar.

"Di dalam bilik sempit itulah, pasukan polis menemui sembilan wanita dan dua lelaki warga Indonesia sedang berhimpit dan terkurung," jelasnya.

Katanya, sebaik melihat kelibat pihak polis, mangsa menangis dan merayu untuk diselamatkan.

Kesemua wanita yang diselamatkan itu berumur di antara 18 hingga 40 tahun manakala dua lelaki berusia 23 dan 44 tahun.

Polis kemudian menahan pemilik rumah terbabit iaitu sepasang suami isteri, yang berumur 59 dan 53 tahun.

Ketika proses penahanan dilakukan, wanita tersebut bukan sahaja mencarut, malah mengugut dan mengeluarkan kata-kata lucah kepada polis.

Siasatan awal polis katanya, mendapati 11 mangsa itu telah dipaksa untuk bekerja membersihkan sarang burung tanpa gaji.

"Mereka juga telah dikurung hampir tiga tahun dan tidak dibenarkan keluar.

"Lebih menyedihkan, mereka akan dipukul oleh kedua-kedua suspek jika kerja tidak memuaskan.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Bintulu pagi ini manakala mangsa-mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan, tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).