Dua wanita dan seorang remaja perempuan sanggup berkomplot menyamun anggota keluarga mereka sendiri hanya kerana mahu membayar hutang dalam kejadian di rumah seorang warga emas di Kampung Contoh, Bagan Ajam di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tiga wanita berusia yang merupakan anak tiri, 42 tahun, cucu, 20 tahun, dan cicit, 17 tahun, kepada wanita warga emas berkenaan ditahan di kampung yang sama iatu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

"Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, warga emas berusia 83 tahun berkenaan berada di dalam rumahnya sendirian kerana anak lelakinya yang berumur 60 tahun telah keluar bekerja dan mangsa sedang tidur sebelum terdengar pintu biliknya diketuk beberapa kali.

"Wanita itu terus membuka pintu bilik tidur kerana menyangka anak perempuannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya datang ke situ dan tiba-tiba seorang wanita datang dari arah belakang menutup muka serta terus memeluk mangsa dan mengacu pisau ke arah dada warga emas itu," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa membuka rantai tangan dan rantai leher emas yang dipakainya dan setelah mendapat barang kemas itu, suspek terus keluar dari rumah melalui pintu belakang.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan umpil pada pintu masuk rumah mangsa yang memang tidak berkunci itu dan tiada sebarang kesan geledah serta kesan pecah masuk.

Mangsa mendakwa mengalami kerugian RM15,000 akibat barang kemasnya disamun, katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu merupakan tiga wanita yang mempunyai ikatan keluarga dengan warga emas berkenaan dan mereka bertindak sedemikian kerana mahu mendapatkan duit bagi membayar hutang.

"Mereka sempat menjual barang kemas (rantai tangan emas) yang disamun itu di sebuah kedai emas dengan harga RM2,000 dan polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM1,250, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher emas serta sekeping resit daripada suspek. Tiga wanita terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA