Tiga daerah di Perak dimasukkan ke dalam senarai zon hijau COVID-19 susulan tiada sebarang kes baru dilaporkan sepanjang tempoh 14 hari lalu.

Tiga daerah itu ialah Kampar, Kuala Kangsar dan Muallim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia berkat usaha gigih pelbagai pihak, termasuk rakyat yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tidak bermaksud zon hijau di tiga daerah ni maka rakyat di tiga daerah ini boleh bebas keluar berjalan-jalan, tidak.

"Kita tidak hendak zon hijau itu bertukar menjadi zon merah atau pun jadi zon jingga. Jadi kekal zon hijau dan supaya zon hijau ini pula kita hendak merebak ke daerah-daerah lain," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial serta barangan keperluan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di pejabatnya di sini pada Khamis.


Menurutnya, rakyat perlu terus bersabar dan kekal dirumah bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan terus.

Pada majlis itu, beliau menerima sumbangan RM100,000 di samping 500 unit peralatan perlindungan diri (PPE), 15,000 topeng muka dan 500 botol cecair pembasmi kuman daripada beberapa penyumbang.