KUALA LUMPUR: Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas sebuah premis makanan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) susulan isu tular di media sosial mengenai seekor tikus dilihat menikmati ayam goreng di premis berkenaan.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata langkah itu selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor yang juga telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Dis (Sabtu) ke atas premis itu.

"Tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan dan permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular | Premis dibatal lesen susulan kejadian tikus makan ayam


Beliau berkata MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan terhadap premis makanan bagi memastikan syarat serta peraturan MPAJ sentiasa dipatuhi, dan orang ramai boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MPAJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my.

Menurutnya sehingga 30 Nov tahun ini 1,057 buah premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 9 (f) Pengendalian Makanan MPAJ 2007 dan UUK 19(1) (d) Establisymen Makanan MPAJ 2007, katanya,

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang merakamkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari dan enam notis kompaun terhadap sebuah kedai makan di Pandan Indah, di sini susulan tular video tular itu.

-- BERNAMA