MALAYSIA

Timbalan Pendakwa Raya SPRM ditahan kes dadah dibebas dengan jaminan polis

Sinar Harian 25/09/2025 | 03:35 MYT
Menurut Asisten Komisioner Aidi Sham, kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR pada Rabu dan pihaknya masih menunggu arahan lanjut ketika ini.
PUTRAJAYA: Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan untuk membantu siasatan kes dadah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki itu akan dibebaskan selepas tempoh reman tiga hari bermula Selasa terhadapnya tamat.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR semalam (Rabu) dan masih menunggu arahan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, TPR SPRM itu didapati positif dadah selain memiliki barang terlarang terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Berikutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar TPR terbabit direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan lanjut dijalankan polis. - Sinar Harian





#Dadah #TPR SPRM #SPRM #Timbalan Pendakwa Raya