KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh mengesahkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng meletakkan jawatan sebagai Ketua PKR Sarawak.

Abang Zulkifli turut mengesahkan Sng bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya mengesahkan beliau (Sng) letak jawatan sebagai Ketua PKR Sarawak dan bertindak keluar parti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Pada 21 Disember tahun lalu, Sng mengumumkan akan berundur sebagai ketua PKR Sarawak yang diambil alih beliau pada Mac 2020 selepas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian meninggalkan parti itu.

Sng berkata keputusan itu bagi membolehkan pemimpin Dayak mengambil alih jawatan sekali gus memimpin parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat Jun depan.

"Saya melihat perkembangan ini bukan suatu perkara yang memeranjatkan kerana beliau telah memaklumkan terlebih dahulu kepada kita.

"Di peringkat negeri, kita berhadapan dengan pelbagai ragam ahli biasa serta pemimpin. Itulah hakikat politik yang perlu kita hadapi dari semasa ke semasa," kata Abang Zulkifli.

Selain Sng, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong turut dilaporkan meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: 2 MP PKR sah keluar parti, nyata sokongan kepada Muhyiddin