Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Tabung Haji (TH) mempertimbangkan semula dasar baharu subsidi haji di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi jemaah yang membuat rayuan kali pertama.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata langkah mengenakan caj penuh kepada mereka yang berjaya dalam rayuan pertama untuk menunaikan haji tidak wajar dilaksanakan.

Ini kerana, kata Asyraf Wajdi, kebanyakan jemaah yang berjaya dalam rayuan itu bukan dari kalangan orang yang berada.

"Saya dimaklumkan mengenai dasar baru subsidi haji yang diperkenalkan kepada mereka yang merayu walaupun kali pertama menunaikan Haji mengikut Pakej Muassasah tetap dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900.

“Jika mengikut dasar lama TH, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60-70 tahun,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, pada Jumaat.

Menurut Asyraf Wajdi, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, caj yang dikenakan ke atas jemaah yang berjaya dalam rayuan pertama adalah RM9,980 seorang dengan jumlah keseluruhan subsidi yang diterima sebanyak RM12,920.


“Berdasarkan pengalaman lama, sekitar 20-25% kekosongan setiap tahun daripada jumlah kuota yang ditetapkan lantaran kematian, keuzuran dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan jemaah yang sepatutnya dijadualkan mengerjakan haji pada tahun tersebut menarik diri.

“Kekosongan inilah yang biasanya diisi oleh mereka yang merayu.

“Jadi, kita gesa supaya dasar baharu ini dipertimbangkan semula kerana ia jelas begitu membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan Rukun Islam kelima itu,” katanya.

BACA: Hibah Tabung Haji diumum Mac ini - Mujahid

Pada Khamis, Mujahid dalam satu sidang media berkata, kerajaan memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama akan kekal pada RM9,980.

Tambahnya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH berusaha menanggung subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu.