MALAYSIA
Timor-Leste perkukuh infrastruktur, hampiri keanggotaan ASEAN - Presiden Ramos-Horta

Ramos-Horta berkata, eam penilai Sekretariat ASEAN telah mengesahkan bahawa Timor-Leste telah memenuhi enam daripada tujuh kriteria utama keanggotaan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Timor-Leste mengesahkan bahawa negara itu mencatat prestasi yang baik dalam beberapa sektor utama berdasarkan pelan hala tuju yang ditetapkan oleh para pemimpin ASEAN, kata Presidennya, Dr Jose Ramos-Horta.
Ramos-Horta berkata enam penilai Sekretariat ASEAN telah mengesahkan bahawa Timor-Leste telah memenuhi enam daripada tujuh kriteria utama keanggotaan, dengan syarat terakhir melibatkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur masih dalam proses pelaksanaan.
"Tiada persiapan terakhir yang tertinggal untuk membolehkan kami menjadi anggota ke-11 ASEAN. Namun, saya percaya kami akan mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam dua hingga tiga tahun akan datang memandangkan kami telah memulakan pelaburan awam berskala besar dalam infrastruktur," katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Profesor Adjung Kehormat di Taylor's University.
Beliau berkata Timor-Leste telah merasmikan sebuah pelabuhan moden dan automatik yang dianggap antara paling maju di Asia Tenggara walaupun saiznya kecil, dibangunkan melalui konsortium yang melibatkan pelaburan dari Timor-Leste, Perancis dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) di bawah Bank Dunia.Presiden itu turut memaklumkan bahawa negaranya kini mempunyai kesalinghubungan yang hampir lengkap melalui kabel dasar laut ke Australia manakala perkhidmatan Starlink juga sudah tersedia secara meluas di Timor-Leste.
"Semua ini berkaitan dengan kriteria ketujuh yang sedang kami usahakan untuk dipenuhi. Proses penambahbaikan masih diteruskan.
"Satu perkara yang boleh kami banggakan ialah mungkin hanya satu atau dua negara di rantau ini yang melakukan lebih baik daripada kami. Hutang luar negara kami hanyalah 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan kesemuanya merupakan pinjaman daripada institusi pelbagai hala seperti Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Dunia dan IFC - bukan daripada bank komersial," katanya.
Beliau berkata Timor-Leste juga memiliki dana kekayaan berdaulat yang walaupun sederhana berbanding piawaian Malaysia atau Singapura, namun amat bermakna bagi negara yang masih muda dengan populasi 1.4 juta itu. Ketika ini, dana itu berjumlah US$20 bilion (US$1 = RM4.26), iaitu 30 kali ganda lebih besar daripada hutang negara.
Beliau turut menekankan bahawa Timor-Leste merupakan negara yang aman, bebas daripada jenayah terancang dan hanya merekodkan kadar rasuah yang rendah.
Ramos-Horta kini berada di Malaysia untuk lawatan peribadi dari 18 hingga 22 Jun, bagi memperkukuh hubungan sejarah antara kedua-dua negara, khususnya memandangkan sokongan penting Malaysia semasa perjuangan kemerdekaan Timor-Leste serta perkongsian berterusan dalam pembangunan serantau.
Sementara itu, beliau turut memuji usaha pantas dan berkesan China untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan 1.4 bilion rakyatnya dan menyuarakan harapan agar China dapat membantu Timor-Leste menghapuskan kemiskinan tegar, memperkukuh keselamatan makanan dan meningkatkan hasil pertanian.
"Kami mempunyai hubungan yang kukuh dengan China dan saya telah bertemu Presiden Xi Jinping pada Julai tahun lepas. Saya membangkitkan isu mengenai potensi China untuk membantu kami mengeluarkan 1.4 juta rakyat Timor-Leste daripada kemiskinan dan Presiden Xi bersetuju," katanya.
Ramos-Horta turut mendedahkan bahawa sebelum lawatan itu, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Duta China ke Timor-Leste, di mana beliau menekankan kepentingan sektor pertanian, keselamatan makanan dan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat -- mesej yang kemudiannya disampaikan kepada Beijing.
"Malah sebelum lawatan saya, saintis dan jurutera China dalam bidang infrastruktur dan pengurusan air telah mula membuat tinjauan ke atas sungai dan sumber air bawah tanah kami. Wilayah seperti Guangzhou kini giat membantu kami mempertingkatkan sektor pertanian," katanya lagi.
Pada penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 27 Mei lepas, para pemimpin Asia Tenggara bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat yang masih belum dipenuhi.
Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 dan telah diberikan status pemerhati pada 2022.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami